Hal Ehwal Zakat
Makna
Syarat wajib zakat
Mengapa wajib zakat
Zakat pendapatan
Zakat simpanan
Zakat perniagaan
Zakat saham
Zakat Emas
Zakat Tanaman
Zakat Ternakan
Zakat KWSP
Zakat fitrah
   
   Golongan yang berhak menerima zakat
Golongan Fakir
Golongan Miskin
Amil Zakat
Golongan Muallaf
Hamba yang ingin memerdekakan dirinya
Orang yang berhutang
Fi Sabilillah
Ibnu Sabil
  ZAKAT FITRAH
 


MAKNA
Zakat Fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan ke atas semua orang Islam tanpa mengira umur dan di mana sahaja mereka berada untuk menyempurnakan ibadat puasa bulan Ramadhan dan ianya dikeluarkan mengikut kaedah dan peraturan tertentu .

Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama sesebuah negara seperti beras di Asia , gandum di Eropah dan sebagainya .

Kadar yang diwajibkan bagi setiap orang ialah satu gantang Baghdad menyamai kira-kira 3 1/ 8 cupak malaysia atau 3 liter atau 2.56 kilogram .

DALIL WAJIB ZAKAT FITRAH
Diriwayatkan oleh As-syaikhani dari Ibnu Umar r.a beliau berkata yang bermaksud : " Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah mewajibkan zakat fitrah bulan Ramadhan sebanyak satu sa' kurma atau satu sa' gandum keatas setiap orang yang merdeka , hamba lelaki atau perempuan, besar atau kecil dari kaum muslimin" .

HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT FITRAH

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Abbas r.a beliau berkata yang bermaksud : " Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perkara ( percakapan / perbuatan ) yang lagha dan tidak ada manfaat .

Untuk memenuhi keperluan orang -orang miskin dan mengelakkan mereka daripada meminta-minta yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka mereka berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang dikeluarkan oleh Al-Hakim yang bermaksud : " Hindarkanlah mereka daripada meminta-minta pada hari ini" .

Menimbulkan rasa kasihan dan kasih sayang terhadap orang-orang miskin yang merupakan saudara kita semua sebagai umat Islam yang berkasihan kerana Allah .

Memberi peluang kepada orang-orang miskin untuk menikmati dan berkongsi kegembiraan Syawal .

SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH
Orang yang mengeluarkannya mestilah Islam dan merdeka .

Mempunyai kemampuan harta yang lebih daripada keperluan utama seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya sendiri dan orang lain yang dalam tanggungannya termasuklah binatang ternakannya pada malam dan siang hari raya .

Wajib zakat setelah tenggelam matahari akhir bulan Ramadhan. Ianya tidak wajib keatas :
1- orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadhan .
2- kanak-kanak yang dilahirkan selepas terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadhan .
3- orang yang baru memeluk Islam selepas terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadhan .

Juga tidak wajib keatas seseorang suami membayar zakat fitrah Isteri yang dikahwininya selepas terbenam matahari pada hari Akhir bulan Ramadhan .

WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Waktu harus - awal Ramadhan sehingga hari akhir Ramadhan
Waktu wajib - terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan
Waktu afdal - selepas solat subuh hari raya sehingga sebelum Didirikan solat hari raya .

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas r.a yang bermaksud : " Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah kerana membersihkan dosa orang-orang yang berpuasa dan memberi makan kepada orang-orang yang miskin . Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka zakatnya diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka zakatnya itu merupakan sedeqah" .
Waktu makruh - selepas solat hari raya tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya pertama .
Waktu haram - selepas terbenam matahari pada hari raya tanpa sebarang halangan dan keuzuran .

NIAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
i.Bagi diri sendiri - " Inilah wang harga beras fitrah bagi menunaikan zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini kerana Allah Taala" .
ii. Bagi diri sendiri dan tanggungan - " Inilah wang harga beras fitrah bagi menunaikan zakat fitrah yang wajib bagi diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Taala" .
iii. Sebagai wakil - " Inilah wang harga beras fitrah bagi menunaikan zakat fitrah yang wajib keatas ( sebut nama orang yang mewakilkannya ) yang mewakilkan kepadaku menunaikannya pada tahun ini kerana Allah Taala" .

GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Berdasarkan firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 60, dapat disimpulkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat sebanyak lapan golongan ( asnaf ) :
Faqir
Miskin
Amil
Muallaf
Hamba yang hendak merdeka dengan bayaran
Orang yang berhutang
Orang yang berjuang pada jalan Allah
Ibnu sabil ( orang yang sedang musafir bukan untuk maksiat dan mengalami kesengsaraan atau putus perbelanjaan )

GOLONGAN YANG TIDAK BERHAK MENERIMA ZAKAT
Orang kaya - harta , tenaga dan penghasilannya .
Hamba yang mendapat nafkah, upah dan tanggungan tuannya ( majikan ) .
Keturunan Rasulullah S.A.W ( keturunan Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib
Orang kafir Orang yang dalam tanggungan penjaganya .

HIKMAH MENGELUARKAN ZAKAT

i. Dapat mensucikan diri dan jiwa dari sifat-sifat mazmuzah ( tercela ) seperti kedekut, hasad dengki, sombong, takabbur, pentingkan diri sendiri, cintakan dunia dan sebagainya .
ii.Membentuk akhlak mahmudah ( mulia ) seperti infaq, sedeqah, cintakan akhirat, kasih dan simpati terhadap orang yang tidak bernasib baik dan miskin dan sebagainya .
iii Mengembangkan harta dan mensucikannya .
iii.Merupakan manifestasi terbesar syukur diatas nikmat Allah Yang Maha Kaya .





 
 
     Iqra' Soft © Hakcipta Terpelihara 2002